:
SEJARAH PENUBUHAN
Share:


• Penubuhan Sekolah imtiaz adalah hasil cetusan idea Dato’ Idris Jusoh (pada masa itu Timbalan Menteri Pembangunan) pada 31 Mei 1996. Ia merupakan kesinambungan daripada program “Pintar Qur’an” (Quranic Excellence) yang telah dilaksanakan di Besut, Terengganu.

Pemilikan tanah wakaf imtiaz oleh Tuan Haji Che Ismail bin Haji Yusuf, Datuk Bentara Luar K.M.N, JP tahun 1898 – 26.06.1976.

• Satu sesi percambahan fikiran seterusnya diadakan di Hyatt Regency Saujana Hotel di Subang pada 23 November 1996 yang dihadiri oleh ahli-ahli akademik, guru-guru agama dan ahli-ahli professional.

• Pada 09 Januari 1999, imtiaz mula beroperasi dengan kemasukan 28 pelajar baru dan sehingga kini telah mencapai 100 orang pelajar. ‘imtiaz’ bermaksud kecemerlangan dalam Bahasa Arab.

• Matlamat utama penubuhan imtiaz (School Of Excellence) sebagai sebuah Sekolah Agama Bestari adalah untuk melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam bidang agama dan akademik, tetapi juga menguasai sains, matematik, ict dan kemahiran bersosialisasi serta kepimpinan.

• Penggabungan sistem pembelajaran berfokuskan Al-Quran, Pembangunan Sahsiah dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang terdapat di imtiaz menjadikan satu-satunya sekolah Agama Pintar (Religious Smart School) yang ulung di negara ini.

• Sehubungan itu, pihak pengurusan imtiaz juga telah mengadakan lawatan ke Maahad Al-Zaytun, Haurgeulis, Indramayu di Indonesia pada tahun 2000 dan Islamic College di Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2001 sebagai satu tinjauan awal.

• Bagi memantapkan sistem pengurusan yang sedia ada, pada Ogos 2004 imtiaz telah diletakkan di bawah pentadbiran Yayasan Terengganu dengan mengekalkan konsep komuniti dan identiti yang tersendiri. Imtiaz terus mengorak langkah dengan kemunculan tiga (3) buah lagi imtiaz dari daerah yang berlainan di Terengganu; imtiaz Dungun (KOSTAQ), imtiaz Kuala Terengganu (KOSPINT) dan imtiaz Kuala Berang (KIST). Keempat-empat buah institusi ini disatukan di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai Institusi Pendidikan Yayasan Terengganu (IPYT).

• Pada tahun 2005, YAB Menteri Besar Dato’ Seri Idris Haji Jusoh telah mempelopori konsep Ulul Albab dengan menjadikan imtiaz sebagai landasan utama ke arah merealisasikan ummah yang Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

•Bagi mencapai hasrat tersebut, Syarikat Integrity Icon Sdn. Bhd ditubuhkan untuk memastikan flagship negeri untuk melahirkan Ulul Albab tercapai.

•Integrity Icon Sdn. Bhd (IISB) telah ditubuhkan pada 15 Mei 2006 dan telah memulakan operasi secara rasmi pada 01 Julai 2006. Penubuhan IISB diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Terengganu Kali Ke-108 yang bersidang pada 14 Februari 2006 dengan bertujuan memberi kemudahan dan kebajikan kepada guru-guru yang mengajar di Sekolah Menengah imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) agar perkhidmatan mereka terjamin.